Friday, September 30, 2011

::Salam Akhir Buat Istri



“Yg, nanti masa balik tu tolong singgah kejap kat kedai beli roti ye..” 
Pesan seorang isteri kepada suaminya.

“Iyelah, nanti ayg belikan.. emm ada apa-apa lagi nak pesan? Ayah ingat lepas berbuka baru ayah gerak” 
balas suaminya

“Takde kot, cukuplaa tu.. nanti terus balik tau.. jangan singgah mana-mana pulak” 
sempat lagi si isteri berpesan

“Ok, dalam pukul 8 nanti ayg sampai.., Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam” 
balas isteri lembut sebelum memutuskan talian.

Oleh kerana jarak antara rumah mereka dengan tempat kerja agak jauh,  si suami memerlukan lebih kurang satu jam untuk perjalanan dari Senai ke Simpang Renggam. Si isteri pula setia menanti di rumah sehinggalah ke waktu yang dijanjikan. Apapun kesabarannya sedikit teruji bila jam telah menunjukkan pukul 9 malam tetapi bayang sang suami masih tidak kelihatan. Si isteri masih cuba memujuk diri untuk tidak beremosi dan menanti lagi berbekalkan sisa baki kesabaran yang ada.

Ketika tepat sahaja jam 9.30 malam dan masih tiada tanda-tanda kepulangan si suami apatah lagi panggilan telefon untuk memberitahu perihal kelewatan maka tak tertampung lagi rasa geram si isteri. 

‘Dia memang nak kena ni.., manalah pulak dia merayap!’ 

getus hati si isteri sambil mengambil telefon dan mendail nombor telefon suaminya. Deringan jelas kedengaran dihujung talian tetapi agak lama untuk dijawab manakala dipihak si isteri seperti sudah tidak sabar untuk menghamburkan sesuatu yang terbungkam. Setelah agak lama berdering akhirnya telefon suaminya berjawab juga. Emm.. inilah masanya bisik si isteri..

“Ayg pegi mana!? dah pukul berapa ni? Dahlah lambat taknak telefon pulak tu! ka..” terus sahaja si isteri hamburkan apa yang terbuku dihati tetapi pantas kata-kata itu dipotong.

“Sabar Puan..! Sabar.. tolong dengar dulu ni” 
ada satu suara lain pula yang menjawab. Si isteri agak pelik.

“Siapa ni..?!” 
soalnya.

“Maaf Puan.., harap Puan bersabar ye.., saya polis.. suami Puan dah tak ada.. kami harap puan dapat segera ke Hospital Kulai sekarang”

Berita itu bagai kilat menyambar. Amarah yang begitu meluap tadi serta merta padam yang ada hanyalah tangisan penyesalan. Rupanya salam yang diucapkan oleh si suami tadi adalah salam yang terakhir di penguhujung Ramadhan 1430H. Suaminya pergi buat selama-lamanya apabila kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah treler kira-kira jam 8 malam yang terus meragut nyawanya.

“Mama, papa mana?” 
tanya si anak yang berusia lingkungan 3 tahun

“Papa dah tak ada sayang..” 
jawab si ibu sambil memeluk erat anak kecil itu. Matanya masih merah serta digenangi air.

Walau begitu sedih beliau masih ada kekuatan untuk menceritakan apa yang berlaku. Siapa sangka Ramadhan yang berbaki beberapa hari saja lagi ini meninggalkan satu episod duka dalam hidupnya.

“Tahun ni akak beraya tanpa siapa-siapa lagi..” 
terlalu sedih bunyinya. Beliau juga terkilan dengan rasa amarahnya sebelum itu dan tiada kesempatan untuknya memohon kemaafan.

Buat para isteri.. apakah kisah ini memberikan kesan kepada anda?


2 comments:

  1. kena kawal sifat suka marah dan berleter... ekeke

    ReplyDelete